Hamidah juara Da’i musim ketiga

Hamidah Juara Da'i 2015

SELEPAS sembilan minggu bersiaran, program realiti Da’i Pendakwah Milenia menobatkan Da’i Hamidah sebagai juara baharu rancangan tersebut.
Hamidah atau nama lengkapnya, Hamidah Ab. Razak, 23, berkata, dia tidak menjangkakan kemenangannya pada malam itu memandangkan dua lagi finalis, Da’i Fuad dan Da’i Hidayu turut menampilkan persembahan yang hebat.
“Sejujurnya, saya langsung tidak menjangka kemenangan ini. Tambahan pula, Fuad dan Hidayu mempunyai kekuatan dan keunikan penyampaian tazkirah yang tersendiri.
“Bagaimanapun, saya berasa sungguh bersyukur dengan rezeki yang diberikan oleh Allah,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas tamat program tersebut di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Berkongsi mengenai perjalanannya dalam rancangan tersebut, Hamidah berkata, cabaran terbesar yang terpaksa dilalui adalah berjauhan dengan ayahnya yang sedang sakit di kampung.
“Persembahan saya agak hambar sejak dua minggu lalu kerana risau dengan keadaan ayah yang kurang sihat.
“Namun, apabila mendapat tahu dia sudah kembali pulih, semangat saya datang kembali. Alhamdulillah, kemenangan ini juga boleh dianggap sebagai hadiah untuk kedua ibu bapa saya,” ujar anak jati kelahiran Kedah itu.
Hamidah menambah, penyertaannya dalam program berbentuk keagamaan itu dianggap sebagai pengalaman paling berharga dalam hidupnya.
“Saya menyertai Da’i bukan sebab mahu bersaing apatah lagi merebut gelaran juara. Namun, saya mahu berkongsi ilmu dan dalam masa yang sama belajar tentang perkara-perkara baharu,” tutur Hamidah.
Ditanya mengenai perancangan masa hadapannya, Hamidah bakal kembali menyambung pelajarannya yang tertangguh di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Aqidah bagi tahun kedua.
“Selepas ini, saya kembali ke kampus dan menyambung kembali pengajian yang tertangguh.
“Dalam masa yang sama, saya juga akan pertimbangkan jika menerima tawaran untuk mengadakan ceramah,” katanya lagi.
Hasil kemenangannya, Hamidah membawa pulang wang tunai RM50,000 tajaan TV3, pakej umrah, kembara ilmu ke Istanbul, Turki dan Ho Chi Minh, Vietnam, komputer riba, langganan Majalah-i selama setahun dan menjadi kolumnis selama enam bulan dan senaskhah al-Quran Amazing.
Selain itu, Hamidah turut dipilih sebagai Da’i Pilihan D’Herbs dengan membawa pulang trofi dan iPad.
Dua lagi peserta yang berjaya ke peringkat akhir iaitu Da’i Fuad dan Da’i Hidayu terpaksa berpuas hati dengan hadiah sagu hati wang tunai RM5,000 berserta hadiah iringan.
Pada malam tersebut, penilaian peserta dilakukan dua juri tetap iaitu Ustaz Harryanto Rizal Rokman dan Ustaz Syarhan Safie manakala Ustaz Badli Shah Alaudin selaku juri jemputan.
Sementara itu, juri awam terdiri daripada barisan artis dan personaliti seperti Erra Fazira, Datin Umie Aida, Memey Suhaiza, Aida Gadis Melayu, Da’i Adibah, Norman Hakim, Syafiq Kyle, Saiful Nizam dan Da’i Farhan.
Diacarakan oleh pelakon Datuk Rosyam Nor, sistem penjurian Da’i masih mengekalkan konsep sama iaitu 70 peratus daripada juri profesional, 20 peratus daripada juri awam dan 10 peratus lagi daripada undian penonton.
sumber 

No comments:

Post a Comment