Sabah & Sarawak: Pengotor!

Sisa ikan, ayam serta sampah dibuang tepi jalan kawasan taman

KUCHING: Kewujudan beberapa lokasi pembuangan sampah di beberapa lorong utama di Taman Matang Jaya, Jalan Matang dekat sini, bukan saja menyakitkan mata memandang malah menyukarkan orang ramai terutama penduduk di situ untuk bernafas.

Ini kerana sampah yang dibuang di kiri kanan lorong itu bukan saja membabitkan sampah kering seperti kertas dan plastik juga potongan daun serta dahan tanaman yang dibuang penduduk ketika membersih kawasan rumah mereka menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri pada 10 dan 11 September lalu dan perut ikan serta ayam yang dibuang suri rumah hampir setiap hari.

Keadaan itu, yang membuat beberapa longgokan sampah berkenaan berbau busuk, apa lagi pada musim panas kering sekarang.
Longgokan sampah berkenaan turut menjadi sasaran beberapa anjing tidak bertuan, mencari makan setiap hari, menyebabkan ada ketikanya kelihatan sampah bertaburan termasuk lampin bayi di atas laluan orang ramai di lorong terbabit.

Selain itu, kawasan terbabit juga menjadi tumpuan pencari barangan terpakai, tin dan besi buruk.

Tinjauan Berita Harian ke Lorong 6A di Taman Matang Jaya, semalam mendapati kewujudan tempat membuang sampah di situ umpama cendawan tumbuh selepas hujan lebat.

Seorang penduduk, Zasran Abdullah, 56, berkata masalah itu berlaku kerana sikap penduduk di taman itu sendiri yang suka membuang sampah di kiri kanan jalan setiap hari.
Beliau berkata, masalah longgokan sampah di kiri kanan lorong di taman itu tidak akan wujud jika penduduk sentiasa bekerjasama dan tidak membuang sampah di lokasi terbabit.

Katanya, masalah longgokan sampah di kiri kanan lorong itu berlaku sejak jadual lori pengangkut sampah di taman berkenaan tidak mengikut jadual iaitu tiga kali seminggu.

"Ada ketikanya lori pengangkut sampah yang beroperasi di taman itu langsung tidak datang atau hanya sekali seminggu.

"Masalah itu akan dapat diselesaikan jika, kontraktor yang bertanggungjawab mengendalikan kerja mengangkut sampah ke pusat pelupusan datang mengikut jadual," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Ibrahim Daud, 55, berkata Majlis Perbandaran Padawan (MPP) perlu kerap datang untuk meninjau masalah longgokan sampah yang banyak terdapat di taman itu.

Selain itu, katanya MPP perlu memastikan kontraktor yang bertanggungjawab mengendalikan kerja mengangkut sampah ke pusat pelupusan datang mengikut jadual bukan kerap berubah-ubah.

"Mereka perlu tegas bukan saja kepada kontraktor terbabit malah kepada penduduk yang didapati membuang sampah sebarangan di taman itu dengan mendenda mereka serta-merta," katanya.

No comments:

Post a Comment